feedburner

Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Pendidikan seks diajar berasingan mulai tahun depan

06/12/2010 3:09pm

KUALA LUMPUR 6 Dis. - Pendidikan seksualiti yang diajar secara menumpang mata pelajaran lain sebelum ini akan diajar secara berasingan mulai tahun depan dengan mengekalkan penggunaan istilah Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (Peers).

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, melalui pelaksanaan di bawah transformasi Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) itu, kementerian tersebut menetapkan subjek tersebut diajar selama 40 minit, dua kali sebulan di sekolah menengah dan 30 minit setiap minggu di sekolah rendah.

"Peers sebenarnya telah dilaksanakan sejak 1989 di sekolah menengah dan 1994 di sekolah rendah, cuma di sekolah rendah ia menumpang merentasi kurikulum di bawah Pendidikan Jasmani.

"Bermula tahun 2011 di bawah transformasi Kurikulum Standard Sekolah Rendah, kementerian memutuskan Pendidikan Kesihatan yang ada di dalamnya Peers akan diajar secara berasingan sebagai satu mata pelajaran yang tidak lagi bercantum dengan mana-mana mata pelajaran lain,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini hari ini.

Hadir sama di sidang media itu ialah Pengarah Bahagian Pembangunan Kurikulum Kementerian Pelajaran, Datuk Dr Julaihi Bujang.

Beliau berkata, antara skop yang akan dimasukkan bagi murid tahap satu ialah perbezaan aspek fizikal lelaki dan perempuan, tanggungjawab menjaga kebersihan diri, kemahiran berkata tidak kepada sentuhan yang tidak selamat, kepentingan memelihara kehormatan diri serta pengurusan perasaan.

Bagi tahap dua yang membabitkan murid tahun empat, lima dan enam, skopnya ialah bagaimana mengurus konflik, perubahan fizikal, akil baligh, sistem reproduktif, kemahiran memelihara kehormatan diri, risiko hubungan seks sebelum nikah, jangkitan penyakit seksual dan kemahiran berkata tidak kepada rokok, alkohol dan dadah.

Mohd Fuad berkata, bagi pelajar sekolah menengah di peringkat rendah pula, mereka akan didedahkan mengenai kecekapan psiko-sosial atau lifeskill menangani situasi berisiko, pengurusan tekanan, jangkitan penyakit seksual, perkembangan sifat seksual sekunder, identiti dan orientasi seksual, perhubungan dan kesan buruk alkohol, rokok dan dadah.

"Manakala di peringkat menengah atas, skopnya ialah kemahiran kecekapan psiko-sosial, kestabilan emosi dan mental, kehamilan remaja, kekeluargaan, jangkitan penyakit seksual, langkah pengawalan dan pencegahan rokok dan dadah,” katanya. - Bernama

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1206&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_17.htm