feedburner

Enter your email address:

Delivered by FeedBurner


Cara Terbaik Ajar Anak Berjalan

Labels: , , , ,




Pasangan suami isteri yang baru dikurniakan anak lazimnya berasa teruja dan tidak sabar untuk melihat bayi mereka pandai berjalan.

Mereka sudah pasti berbangga memberitahu rakan-rakan bahawa bayi mereka yang comel sudah mula bertatih dan berjalan jatuh.

Ada juga yang tidak sabar dan cuba ‘mengajar’ bayi mereka belajar berjalan, lebih-lebih lagi apabila melihat anak rakan yang sebaya sudah pandai berjalan mahupun berlari.



Sebenarnya, bayi tidak perlu ‘diajar’ kerana mereka akan membuat keputusan sendiri apabila telah bersedia untuk melakukan perkara itu.

Ibu bapa juga tidak seharusnya membandingkan anak mereka dengan anak orang lain, kerana setiap bayi berbeza tahap pembesarannya. Mereka harus belajar menerima seadanya.

Boleh jadi satu hari nanti anda akan melihat bayi cuba bertatih sendiri pada sambutan hari jadi pertamanya. Sesetengah kanak-kanak bagaimanapun, masih gagal berdiri sendiri walaupun telah mencecah usia 18 bulan.

Jika perkembangan dalam aspek-aspek lain seperti fizikal, pertuturan dan sebagai berlaku secara normal, ibu bapa sepatutnya tidak perlu berasa bimbang.

Namun, sekiranya masih berasa terlalu risau mengenainya, pergilah berjumpa doktor.

Berjalan ada kaitannya dengan keseimbangan dan perkembangan motor. Bagi sebahagian kanak-kanak, mampu berdiri adalah satu pencapaian, manakala melangkah setapak demi setapak adalah satu matlamat yang mesti dicapai tanpa merasai penat.

Ada beberapa cara yang boleh dilakukan oleh ibu bapa bagi membantu anak-anak belajar berjalan.

Sebagai contoh, galakkan mereka berdiri dan berpegang pada perabot untuk menambah kestabilan dan membantunya belajar mengimbangkan diri dengan betul.

Apabila anak lebih yakin, dia akan lebih suka bergerak di sekeliling perabot itu untuk mendapatkan mainan kegemarannya.

Berikut beberapa panduan bagi membantu anak agar pandai berjalan:



Walker bayi



Peralatan seperti tempat duduk, beroda dan berbingkai (walker) bukanlah alat bantuan terbaik untuk mendidik anak belajar berjalan dengan lebih cepat.

Ini kerana, kerusi walker boleh menghalang perkembangan semula jadi mereka untuk belajar bertatih.

Bayi yang menggunakan walker akan bergantung kepada alat itu untuk mengimbangkan diri dan bergerak. Akhirnya, otot yang mereka perlukan untuk berjalan tidak akan berkembang sepenuhnya.

Walker juga perlu digunakan dengan berhati-hati kerana statistik kemalangan meningkat setiap tahun berpunca daripada alat tersebut.




Berkaki ayam



Cuba memakaikan kasut pada bayi agar mereka belajar bertatih dengan pantas bukan tindakan yang betul.

Biarkan anak membiasakan diri dengan pelbagai jenis permukaan seperti rumput, karpet, kayu dan pasir. Ia suatu suasana pembelajaran yang menarik dan menyeronokkan bagi anak-anak.




Pegang tangan



Walaupun ia kelihatan seperti cara terbaik untuk membantu anak, tetapi dengan memegang tangan ibu bapa mengganggu keseimbangan badannya.

Ini kerana kejadian alam telah melengkapkan kita dengan tapak kaki dan jari kaki bagi keseimbangan badan.

Sebaliknya, cuba pegang anak pada badannya agar ia berdiri tegak.




Interaksi



Pengalaman ini merupakan satu perspektif baru bagi kanak-kanak dan pasti bukan sahaja ia teruja malah ibu bapa juga berkongsi kegembiraan itu.

Habiskan banyak masa dengannya untuk memberikan anak anda keyakinan untuk bangun sendiri apabila jatuh, ketawa dengan gembira dan galakkan dia agar mencuba lagi.

Anak anda akan cuba mencapai apa sahaja apabila dia mula berjalan. Dan anda pastinya merindui hari-hari ketika dia cuma terbaring di atas katilnya!

Oleh Diyana Rose Kamaludeen
Sumber : Ajar anak berjalan.

0 comments:

Post a Comment